Format Rancangan Vokal (siri TV)

Vokal diperkenalkan kepada umum pada 15 September 2011 dalam sebuah sidang media di Sri Pentas, iaitu premis stesen-stesen penyiaran TV dan radio milik Media Prima termasuk TV3. Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9:[1][2][3]

Vokal muncul sebagai program realiti hiburan yang mempunyai identiti tersendiri di mana kualiti vokal peserta didahulukan daripada paras rupa. Kami ingin membuktikan bahawa Vokal mampu mengubah persepsi stereotype masyarakat dan sekali gus menjadi platform positif kepada peserta yang mempunyai vokal yang baik tetapi tidak mempunyai pakej lengkap.

Format RancanganPertandingan Vokal bermula dengan sesi ujibakat di Sri Pentas pada 23 dan 24 September, dan 1 dan 2 Oktober, terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 hingga 28 tahun.[4] Daripada seramai 1,400 orang[5] yang diuji bakat dalam empat hari itu, hanya sepuluh orang yang dipilih untuk bertanding.

Episod pertama Vokal disiarkan secara langsung di TV3 pada 16 Oktober 2011, dengan persembahan dari lima peserta pertama. Pengacaranya ialah Faizal Ismail, sementara panel juri terdiri daripada Azmeer, Erra Fazira dan seorang artis jemputan mingguan yang menjawab "ya" atau "tidak" kepada satu demi satu peserta. Pertandingan antara 10 peserta ini dilangsungkan selama sembilan minggu, kesemua peserta mula-mula dipecahkan kepada dua kumpulan berlima yang berentap pada minggu yang berasingan, dan seorang peserta akan terkeluar jika juri tidak berpuas hati dengan nyanyiannya.

Di samping rancangan pertandingan pada setiap 9 malam Ahad, juga terdapat program sampingan Rutin Vokal yang memaparkan sorotan persediaan serta tugasan yang perlu dijalankan oleh para peserta pada setiap 5 petang Ahad sepanjang pertandingan. Antara tenaga pengajar yang turut menjayakan program Vokal termasuk Faizal Uzir sebagai Pengarah Muzik dan Penasihat Vokal, Adzwa sebagai Penasihat Persembahan, Prof. Madya Haji Md. Izzuddin (Prof. Izzi) selaku pakar motivasi dan Simran Latif dari Original Bootcamp sebagai jurulatih kecergasan dan kesihatan.[3]

Juara pertandingan Vokal akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000, naib juara RM 30,000 dan pemenang tempat ketiga pula RM 10,000.[1]

Pusingan 1

Dalam pusingan pertama, 10 orang peserta yang layak dari sesi uji bakat dibahagikan kepada dua kumpulan berlima yang berentap dalam dua malam persembahan yang berasingan. Mereka semua bernyanyi di belakang tabir tanpa kelihatan langsung sementara dinilai oleh panel tiga juri yang mengatakan ya (Y) atau tidak (N) kepada peserta. Di peringkat ini, keputusan hanya terletak di tangan juri. Dua "ya" diperlukan untuk layak ke pusingan seterusnya. Selepas keputusan diumumkan, barulah peserta itu menampilkan diri di atas pentas.

Pusingan 2

Mulai pusingan ini, semua peserta membuat persembahan dengan tampil di atas pentas. Keputusan ditentukan 50% oleh juri dan 50% oleh undian penonton melalui SMS. Penonton hanya diberi peluang untuk mengundi sepanjang persembahan (mulai saat rancangan bermula hingga rehat iklan terakhir sebelum keputusan diumumkan).